Kritikan terhadap Jama'ah Tabligh
Perkara-perkara yang dikritik terhadap Jamaah Tabligh:
1. Tidak memberikan perhatian terhadap permasalahan akidah. Betapa ramai orang yang telah menyertai mereka boleh jadi selama 40 tahun, tetapi kamu melihatnya tetap berada di atas akidahnya yang bid'ah ataupun syirik. Ini adalah menyelisihi sunnah kerana Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ketika mengutuskan Mu'adz bin Jabal ke Yaman, baginda memerintahkan beliau untuk memulakan dakwahnya dengan kalimah tauhid لا إله إلا الله dan kalimah محمد رسول الله . Hadithnya muttafaqun 'alaihi dengan makna ini. Maka dakwah hendaklah dimulakan dengan tauhid sebelum permasalahan yang lain. Seseorang yang berserah diri kepada tauhid, dia akan bersedia untuk meninggalkan apa sahaja perkara yang menyelisihi syara'.
2. Tidak memberikan perhatian kepada ilmu. -bahkan sebahagian daripada mereka menjauhkan orang yang berminat daripada ilmu dalam keadaan mereka menyangka bahawasanya ilmu itu melalaikan daripada berdakwah dan ini adalah pemahaman yang keliru-. Kamu boleh melihat sebahagian mereka yang telah menghabiskan mungkin 20 tahun bersama jamaah ini dalam keadaan dia tetap berada di atas kejahilannya. Memandang rendah terhadap ilmu adalah memandang rendah terhadap kebaikan. Al-Imam Al-Bukhari dan Al-Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam kitab Sahih mereka sebuah hadith daripada Muawiyah bin Abu Sufyan -semoga Allah meredhainya- mengatakan bahawasanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Maksudnya: ((Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan buatnya, Dia akan memahamkannya akan agama)). Seorang pendakwah ke jalan Allah adalah orang yang paling berhak untuk bersungguh-sungguh mendapatkan ilmu yang bermanfaat supaya dia dapat menyeru manusia di atas keterangan. Allah berfirman:
قُلۡ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِىۖ وَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ
Maksudnya: ((Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan jalan orang-orang yang mengikutiku, menyeru manusia semuanya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah, dan bukanlah aku termasuk dari golongan orang yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.")) (Surah Yusuf: 108). Satu majlis yang disampaikan oleh seorang yang berilmu adalah lebih baik daripada majlis yang disampaikan oleh seratus orang yang jahil.
3. Kurangnya perhatian mereka dalam menyebarkan dakwah di dalam beberapa permasalahan dan lalainya mereka daripada kebanyakan perkara-perkara syariat. Allah subhanahu wata'ala telah berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِى ٱلسِّلۡمِ ڪَآفَّةً۬ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِۚ إِنَّهُ ۥ لَڪُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ۬
Maksudnya: ((Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.(Surah Al-Baqarah: 208). Maknanya adalah: "Ambillah agama ini dari segenap sisinya". Dan sungguh kebanyakan daripada ahli ilmu yang memiliki keutamaan lari daripada dakwah mereka disebabkan masalah ini. Dan tidaklah maknanya di sini kita ingin membebankan kepada mereka untuk berbicara tentang perkara-perkara yang mereka tidak memiliki ilmu tentangnya dan tidaklah kita membolehkan mereka untuk berbicara tentang perkara yang mereka tidak tahu. Akan tetapi kita katakan bahawasanya wajib ke atas seorang yang berdakwah ke jalan Allah untuk berbicara dengan keadilan. Ini berdasarkan firman Allah:
وَإِذَا قُلۡتُمۡ فَٱعۡدِلُواْ وَلَوۡ ڪَانَ ذَا قُرۡبَىٰۖ
Maksudnya: ((dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat dengan kamu)). (Surah Al-An’am: 152). Rasulullah sallaallahu 'alaihi wasallam telah memerintahkan Abu Zar untuk bercakap yang benar walaupun pahit. Sampai bila kita nak berlakon di hadapan para penguasa yang merasa tersakiti dengan kalimah yang benar. Dan sampai bila kita nak berlakon di hadapan masyarakat yang hanya ingin untuk mengambil daripada agama ini perkara yang bersesuaian dengan hawa nafsu dan dunianya sahaja??
4. Kebanyakan daripada mereka terlampau fanatik kepada mazhab Abu Hanifah. Seharusnya ke atas seorang pendakwah ke jalan Allah dan bahkan ke atas setiap muslim untuk tunduk dan patuh hanya kepada dalil. Allah berfirman:
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ۬ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥۤ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَـٰلاً۬ مُّبِينً۬ا
Maksudnya: ((Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.)) (Surah Al-Ahzab: 36). Bagaimana seseorang itu boleh mendakwahkan untuk mengikuti Rasul sedangkan dia adalah orang yang pertama sekali menyelisihinya. Allah berfirman:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ
Maksudnya: ((Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.)) (Surah Al-Saff: 2&3). Nabi Syu'aib juga telah bersabda:
وَمَآ أُرِيدُ أَنۡ أُخَالِفَكُمۡ إِلَىٰ مَآ أَنۡهَٮٰڪُمۡ عَنۡهُۚ إِنۡ أُرِيدُ إِلَّا ٱلۡإِصۡلَـٰحَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُۚ وَمَا تَوۡفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِۚ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُ وَإِلَيۡهِ أُنِيبُ
Maksudnya: ((Aku tidaklah aku ingin melakukan sesuatu yang aku sendiri melarang kamu daripada melakukannya. Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.)) (Surah Hud: 88).
5. Selalu bercakap menggunakan hadith-hadith yang lemah, palsu dan bahkan yang tidak ada asalnya sama sekali. Sedangkan baginda telah bersabda:
إِيَّاكُمْ وَكَثْرَةَ الْحَدِيثِ عَنِّي ، فَمَنْ قَالَ عَلَيَّ ، فَلْيَقُلْ حَقًّا ، أَوْ صِدْقًا ، وَمَنْ تَقَوَّلَ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ ، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: ((Berhati-hatilah kamu semua daripada berbicara tentang aku. Barangsiapa yang berbicara tentang aku, hendaklah dia berbicara dengan kebenaran atau kejujuran. Barangsiapa yang menisbahkan kepadaku suatu ucapan yang aku tidak mengatakannya maka persiapkanlah tempat duduknya di dalam neraka)). Barangsiapa yang mengatakan: Sesungguhnya para ulama ada yang membenarkan kita untuk berbicara menggunakan hadith lemah di dalam hal fadhail a’mal (keutamaan-keutamaan amalan) maka sebenarnya dia belum lagi menyempurnakan syarat-syarat yang diletakkan oleh para ulama tersebut iaitu:
· Hendaklah kelemahannya tidak terlampau kuat.· Hendaklah ia berada di bawah usul.· Hendaklah beramal dengannya tidak dimasyhurkan.
Walaupun begitu, tetap yang benar adalah tidak boleh kita berbicara melainkan tentang sesuatu yang benar-benar tsabit (iaitu: benar-benar datang dari baginda). Barangsiapa yang mendakwa adanya perbezaan di antara syariat (iaitu dalam penggunaan hadith) hendaklah dia mendatangkan keterangan tentang itu. Sekiranya dia ingin berbicara menggunakan hadith yang lemah, palsu atau bahkan yang tidak ada asalnya sama sekali, hendaklah dia perjelaskan bahawasanya hadith ini tidak boleh beramal dengannya. Wallahu a'lam
Dinukil daripada Kitab ‘Al-Makhraj Minal Fitnah’ karangan Asy-Syaikh Abu Abdirrahman Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i -semoga Allah merahmatinya-
Terjemahan dengan sedikit perubahan oleh Abu Ahmad Shahir
Sumber :
https://wannshahir.blogspot.com/2018/11/perkara-perkara-yang-dikritik-terhadap.html
Komentar
Posting Komentar