Dakwah Salafiyyah Bukan Dakwah Ekstrim
PENJELASAN BUAT PEMIMPIN DAN MASYARAKAT MUSLIM BAHAWA DAKWAH SALAFIYYAH BUKANLAH DAKWAH YANG EKSTRIM
بسم الله الرحمن الرحيم
Sering kita mendengar sebahagian manusia cuba mengaitkan dakwah yang mengikuti jalan salafus soleh dengan keganasan. Berbagai gambaran buruk diberikan kepada pemimpin dan masyarakat bahkan kepada pihak yang menjaga keselamatan negara. Mereka yang mengaku salafi dilabelkan sebagai kumpulan ekstrim, cuba mengambil alih tampuk pemerintah negara dengan cara kekerasan dan menghalalkan darah umat Islam. Sebahagian daripada musuh - musuh golongan salafiyun ini mencurahkan segala usaha dan tenaga mereka untuk memburuk - burukkan kelompok tersebut melalui penulisan, ceramah dan jawatan yang mereka miliki. Maka ramailah yang terpedaya kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang agama dan prinsip ahli sunnah wal jamaah yang sebenar, prinsip yang telah dipegang oleh ulama sunnah sejak dari zaman awal Islam sehingga ke hari ini. Prinsip dan pegangan tersebut telah ditulis oleh mereka di dalam kitab - kitab dan risalah. Ianya merupakan apa yang berlandaskan kepada dalil daripada AlQuran dan Hadis dan menjadi perkara yang disepakati oleh ulama sunnah keseluruhannya. Tidak menyelisihi prinsip tersebut melainkan golongan yang menyimpang daripada jalan ahli sunnah.
Di dalam risalah ini saya akan menyatakan serba sedikit bukti bahawa golongan salafiyun bukanlah golongan ekstrimis atau pengganas berdasarkan dalil dan bukti seperti yang disebutkan oleh ulama sunnah tentang prinsip - prinsip tersebut. Semoga keterangan ringkas ini dapat menyedarkan masyarakat Islam dan membuka minda mereka agar tidak mempunyai prasangka buruk kepada golongan salafiyun.
1. Ketahuilah bahawa diantara prinsip yang menjadi pegangan salafiyun adalah taat kepada pemerintah dalam perkara yang ma'ruf, bersabar dengan kezaliman mereka dan tidak bangkit menentang mereka. Prinsip ini disebutkan oleh para ulama di dalam kitab - kitab mereka seperti al-ajuri di dalam kitab as-syariah, abu jaafar atthohawi di dalam kitab al-aqidah at-thohawiyah, ibnu abi al-izz di dalam syarahan kitab al-aqidah at-thohawi, imam an-nawawi di dalam syarahan soheh muslim dan ramai lagi. Inilah juga apa yang disebutkan oleh ulama sunnah pada zaman ini seperti syaikh abdul Aziz ibnu baz, syaikh alalbani, syaikh muqbil alwadi'e, syaikh muhammad ibnu utsaimin, syaikh yahya alhajuri dan yang lainnya rohimahumullah ajmaien.
Nukilan daripada ulama sunnah khususnya mereka yang hidup di zaman ini yang dilabelkan sebagai wahhabi oleh musuh mereka akan saya nyatakan di dalam tulisan ini nsyaAllah. Ianya merupakan bukti yang jelas bahawa golongan salafiyun bukanlah pengganas yang cuba menimbulkan kekacauan dan huru hara di dalam masyarakat.
- kata imam abu bakr Muhammad ibnu al-husain al-ajurri (meninggal tahun 360 hijrah) di dalam kitabnya الشريعة :
"Bab mendengar dan taat kepada orang memegang urusan umat islam, bersabar dengan mereka walaupun mereka melakukan kezaliman dan tidak bangkit menentang mereka selagi mereka menunaikan solat "- jilid 1 cetakan muassasah qurtuba.
Kata beliau : "aku telah menyebutkan tentang peringatan daripada fahaman khawarij apa yang disampaikan buat orang yang dilindungi daripada mazhab tersebut dan tidak menyetujui pandangan mereka. Bersabar dengan kezaliman pemimpin dan penguasa dan tidak mengangkat senjata menentang mereka... "
- kata imam abu jaafar ahmad ibnu muhammad at-thohawi (meninggal dunia tahun 321 hijrah) :
" Kami tidak berpandangan boleh bangkit menentang pemimpin-pemimpin kami walaupun mereka melakukan kezaliman. Kami tidak mendoakan keburukan ke atas mereka dan tidak menarik tangan daripada mentaati mereka. Kami berpandangan taat kepada mereka merupakan ketaatan kepada Allah sebagai satu kewajipan selagi mana mereka tidak menyuruh kepada kemaksiatan dan kami mendoakan buat mereka kebaikan dan kesejahteraan "
-kata imam abul hasan Ali ibnu Ali yang dikenali dengan ibnu abil 'izz alhanafi (meninggal dunia tahun 772 hijrah) di dalam syarahan kitab al-aqidah at-thohawiyah :
" adapun berterusan mentaati mereka walaupun mereka melakukan kezaliman adalah kerana bangkit menentang mereka akan mengakibatkan berlakunya kerosakan yang berlipat kali ganda lebih teruk daripada keburukan yang wujud disebabkan kezaliman mereka" - jilid 2 cetakan muassasah ar-risalah
- kata al-lalakai di dalam kitab syarahan usul i'tiqad ahli sunnah :
"Tidak halal bagi sesiapa pun memerangi penguasa atau bangkit menentangnya. Siapa yang berbuat demikian maka dia seorang pelaku bid'ah tidak berada di atas sunnah dan jalan (yang benar)" - dinukil daripada kitab fatwa ulama kibar karangan saudara abdul Malik al-jazairi (m/s 28)
- kata ibnu bathoh al-ukbari di dalam kitab al-ibanah :
" selepas itu menahan diri dan tidak terjebak di dalam fitnah (kekacauan). Tidak mengangkat senjata untuk menentang pemimpin walaupun mereka berlaku zalim" - dinukil daripada kitab al-jazairi
- kata al-muzani anak murid imam as-syafie :
"Dan tidak bangkit ketika mereka melampaui batas dan melakukan kezaliman dan bertaubat kepada Allah agar Dia menjadikan mereka berlembut terhadap rakyat mereka" - kitab al-jazairi m/s 31
-kata imam an-nawawi di dalam kitab syarahan soheh muslim :
"adapun bangkit menentang dan memerangi mereka, ia adalah haram dengan ijmak ulama islam walaupun pemimpin merupakan orang yang fasiq lagi zalim. Dalil-dalil daripada hadis amat banyak menunjukkan kepada apa yang aku nyatakan. Ahli sunnah sepakat bahawa penguasa tidak terlucut daripada jawatannya disebabkan kefasiqan "-kitab al-imaroh
Dinukilkan juga di sini kata-kata ulama sunnah zaman ini yang menjadi rujukan golongan salafiyun (yang dilabel sebagai bapak wahabi oleh musuh-musuh sunnah) untuk menyanggah tohmahan manusia yang busuk hatinya yang sering mencerca ulama salafiyun. Ianya merupakan bukti bahawa salafiyun sejati tidak mengajak kepada keganasan dan pemberontakan.
- kata syaikh abdul Aziz ibnu baz (mantan mufti saudi) :
"Nas-nas daripada sunnah menjelaskan tentang ini (kewajipan taat kepada pemimpin) dan menunjukkan bahawa ketaatan adalah dalam perkara yang ma'ruf. Wajib ke atas umat islam taat kepada pemimpin dalam perkara yang ma'ruf. Apabila disuruh kepada perkara yang berbentuk maksiat maka tidak boleh ditaati. Namun tidak boleh bangkit menentang mereka disebabkan kemaksiatan tersebut..."- kitab al-jazairi m/s 69.
Katanya lagi :
" Tidak selayaknya bagi pemuda atau selain mereka meniru kumpulan khawarij dan muktazilah. Bahkan wajib bagi mereka berjalan di atas mazhab ahli sunnah wal jamaah berdasarkan dalil-dalil syarak. Mereka berhenti bersama nas sebagaimana ia datang. Tidak boleh bagi mereka bangkit menentang pemerintah disebabkan kemaksiatan yang mereka lakukan. Bahkan hendaklah menasihati dengan penulisan dan secara terus dengan cara yang baik lagi berhikmah, berhujah dengan cara terbaik sehingga berjaya atau berkurangan keburukan dan bertambah kebaikan "- kitab al-jazairi m/s 73
- kata syaikh muhammad nasiruddin al-albani :
" Kami sentiasa menyatakan dan selama-lamanya menyatakan bahawa bangkit menentang pemerintah walaupun diyakini kekufurannya tidaklah disyariatkan... "- kitab al-jazairi m/s 81
Katanya lagi :
"Kesemua jemaah yang mendakwa sebagai salafi, sekiranya tidak mengikuti cara salafus soleh - di antaranya permasalahan tidak boleh mengkafirkan pemerintah dan bangkit menentang mereka - dakwaan mereka hanyalah dakwaan semata-mata" - kitab al-jazairi m/s 98
- kata syaikh muhammad ibnu utsaimin
"kewajipan kita adalah menasihati sekadar yang mampu. Adapun menzahirkan persaingan (untuk merebut tampuk pemerintahan) dan bantahan secara terang-terangan, ianya menyelisihi petunjuk salafus soleh. Kamu telah mengetahui sekarang perkara ini (perkumpulan penduduk Algeria di masjid untuk menyatakan bantahan terhadap pemerintah) tiada kaitan dengan syariat islam dan tidak mendatangkan kebaikan. Ianya hanyalah memudaratkan"- kitab al-jazairi m/s 140
Katanya lagi ketika ditanya tentang memerangi negara-negara islam lebih utama daripada memerangi negara kafir kerana negara islam telah murtad :
"Ini adalah kaedah khawarij yang membunuh orang islam dan membiarkan orang kafir. Ia adalah kaedah yang batil" - kitab al-jazairi m/s 146
2. Manhaj salafi tidak menjadikan tampuk pemerintahan sebagai matlamat dakwah mereka. Asas dakwah mereka adalah mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah dan mengikut ajaran Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang terkandung di dalam Al Quran dan hadis. Umum mengetahui bahawa kebanyakan fitnah dan kekacauan yang melanda kebanyakan negara berpunca daripada golongan yang mempunyai matlamat menegakkan apa yang mereka gelar daulah Islamiyyah atau negara islam. Inilah perbezaan ketara di antara salafiyun dengan kelompok tersebut. Apabila mereka menjadikan tampuk pemerintahan sebagai matlamat perjuangan maka sudah tentu segala usaha mereka tertumpu kepada menjatuhkan pemerintah yang ada. Dari sinilah lahirnya kekacauan dan huru hara sama ada cepat atau pun lambat. Realiti yang berlaku di dalam dunia islam merupakan bukti yang tidak dapat disangkal bahawa kelompok tersebut merupakan punca berlakunya fitnah dan pertumpahan darah. Adapun salafiyun, mereka hanya memfokuskan kepada tauhid dan mengajak manusia tunduk dan patuh kepada perintah Allah serta berpegang teguh dengan ajaran Rasulullah. Menasihati rakyat dan pemerintah berdasarkan ilmu wahyu yang terkandung di dalam kitab Allah dan sunnah Rasulullah. Mereka tidak membentuk kumpulan yang mempunyai kepimpinan tersendiri yang perlu ditaati selain daripada pemerintah yang ada. Mereka tidak mempunyai gerakan rahsia atau ala tentera. Apa yang mereka lakukan hanyalah membuat majlis ilmu untuk mengajar AlQuran dan hadis serta kitab kitab ulama sunnah. Mereka dididik untuk menghafal AlQuran dan hadis serta mengkaji kitab kitab warisan dari ulama dahulu dan sekarang. Siapa yang pergi ke markaz mereka mengetahui tentang perkara ini. Mereka dilarang daripada terlibat dengan demonstrasi dan menyebar keaiban pemimpin. Apakah golongan yang mempunyai ciri-ciri seperti ini layak dilabelkan sebagai pengganas atau kumpulan ekstrim? Anda boleh merujuk kepada risalah yang ditulis oleh syaikh zaid al-wushobi حفظه الله pembimbing dar AlQuran wal hadis tentang markaz kami untuk memahami prinsip dakwah salafiyun.
3. Golongan salafiyun tidak sewenang wenangnya menghalalkan darah saudara mereka yang mengucap dua kalimah syahadah. Mereka tidak mengkafir sesama Islam tanpa ada hujah dan bukti yang jelas daripada AlQuran dan sunnah. Apa yang digambarkan oleh sebahagian manusia bahawa golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai salafi suka menghalalkan darah orang islam dan membunuh sesama islam merupakan kesalahan di dalam menisbahkan perbuatan mereka kepada manhaj salafi. Tidak semua yang mengaku sebagai salafi dan membaca kitab ulama salafiyun merupakan salafi yang sebenar. Selagi mereka tidak berpegang dengan prinsip salafi yg sebenar maka mereka bukanlah salafi. Sila rujuk kata-kata 2 ulama salafiyun yang saya nyatakan di atas. Adalah satu kesalahan besar apabila melabelkan golongan pemberontak seperti jamaah jihad, alqaeda dan seumpamanya sebagai salafi jihadi. Mereka bukanlah salafi. Di dalam istilah yang digunakan oleh ulama mereka digelar khawarij. Menisbahkan golongan khawarij tersebut kepada salafi merupakan jenayah terancang untuk memburuk burukkan dakwah salafiyah yang sebenar. Musuh musuh islam dan musuh sunnah inginkan agar umat ini takut mendekati dakwah yang mengajak kepada kefahaman islam yang murni. Kejayaan memburuk burukkan golongan salafi merupakan kejayaan menjauhkan masyarakat islam daripada mendapat kefahaman sebenar tentang islam. Akhirnya jadilah umat islam umat yang lemah dan berpecah belah seterusnya mudah diperkotak katik oleh musuh mereka.
4. Salafiyun tidak menghalalkan darah bukan islam yang mempunyai perjanjian dengan pemerintah muslim. Prinsip ini berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud :
"Siapa yang membunuh orang yang mempunyai perjanjian ketika dia masih di dalam perjanjian tersebut maka dia tidak dapat mencium bau syurga" -
Orang yang melakukan kekacauan dengan membunuh bukan islam, mengebom hotel dan bas pelancong bukanlah salafiyun. Hanya kerana pengganas tersebut berjanggut, berjubah dan belajar sebahagian kitab ulama sunnah maka mereka dianggap sebagai salafiyun. Perlu dibezakan di antara salafiyun yang sebenar dan khawarij bertopeng salafi berdasarkan prinsip perjuangan dan cara dakwah. Apabila anda memahami hal ini maka anda tidak akan bersangka buruk terhadap salafiyun.
Mereka yang berfikir secara waras dan tanpa dorongan hawa nafsu pasti menyedari bahawa keganasan berpunca daripada matlamat dan prinsip perjuangan yang salah. Sekiranya kita benar benar memahami perjuangan dan dakwah salafiyah maka tiada sebab yang membolehkan mereka dilabelkan sebagai pengganas atau kelompok ekstrim. Berlaku adillah dalam menghukum agar anda tidak menzalimi manusia yang ingin berpegang dengan kebenaran atau menjadi penolong kepada musuh musuh islam dan sunnah untuk memadamkan cahaya kebenaran.
Semoga Allah memberikan kebaikan pada penulisan yang ringkas ini dan menyedarkan semua peringkat masyarakat tentang hakikat dakwah salafiyah yang sering ditohmah dan dimusuhi.
Ditulis oleh : zulhizam ibnu muhammad hashim
Komentar
Posting Komentar