soal jawab berkaitan sambutan kelahiran Nabi ﷺ
*Soal Jawab Berkaitan Sambutan Hari Kelahiran Nabi -Oleh Syaikh Fathul Qadasi hafizahullah.*
Segala puji adalah milik Allah Tuhan sekalian alam. Saya memujinya dengan pujian yang banyak, yang baik lagi diberkati. Saya bersaksi bahawa tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah semata tidak ada sekutu baginya. Saya juga bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusan Allah, semoga selawat dan salam dilimpahkan ke atas baginda dan ahli keluarga baginda serta para sahabat semuanya.
Adapun setelah itu;
Maka berikut ini adalah soalan-soalan yang diikuti oleh jawapan-jawapan yang jelas dalam menerangkan permasalahan menyambut hari kelahiran Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang mana akan nyata di sela-sela pembahasan ini tentang hukum berkaitan masalah ini. Saya memohon kepada Allah ‘azza wajalla untuk memberikan manfaat kepada kaum muslimin dengan risalah ini.
Soalan 1: Pada hari apakah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dilahirkan?
Jawapan: Baginda dilahirkan pada hari Isnin berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah radhiallahu ‘anhu bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya tentang berpuasa pada hari Isnin? Baginda bersabda: ((Itu adalah hari yang padanya aku dilahirkan dan pada hari itu jugalah aku diutuskan –atau: wahyu diturunkan ke atasku-)). Rujuk Sahih Muslim (2/819) pada nombor (1162).
Soalan 2: Adakah ahli sirah semuanya bersepakat tentang tarikh lahirnya, pada bulan apa dan pada hari yang manakah (dari bulan tersebut) kelahiran baginda?
Jawapan: Ahli sirah berselisih pendapat tentang masalah ini dengan perselisihan yang banyak. Kebanyakan mereka berpendapat bahawa baginda dilahirkan pada bulan Rabi’ul Awwal. Kemudian sebahagian mereka berpendapat baginda dilahirkan pada hari yang kedua (2) daripada bulan tersebut. Sebahagian yang lain pula mengatakan pada hari kelapan (8). Sebahagian yang lain mengatakan pada hari kesepuluh (10). Kebanyakan mereka mengatakan pada hari yang kedua belas (12). Sebahagian yang lain mengatakan pada hari yang ketujuh belas (17). Sebahagian yang lain pula mengatakan pada hari yang kedua puluh dua (22) daripada bulan Rabi’ul Awwal.
Bahkan sebahagian yang lain pula mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada bulan Ramadhan dan bukan pada bulan Rabi’ul Awwal dan ini adalah pendapat yang jauh. Rujuk Al-Bidayah Wa An-Nihayah (3/374-377) Cetakan Hajar.
Maka kamu melihat mereka berselisih tentang tarikh kelahiran baginda dengan perselisihan yang banyak sedangkan tidak ada di sana sebarang dalil pun untuk kita memutuskan salah satu daripada pendapat-pendapat ini.
Soalan 3: Baginda hidup selama 63 tahun, adakah pernah baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menyambut hari kelahirannya?
Jawapan: Sudah tentu jawapannya: Tidak
Soalan 4: Adakah sambutan ini pernah dilakukan oleh orang yang paling baginda cintai dan yang merupakan sahabat yang menemani baginda di dalam gua tersebut iaitu Abu Bakar As-Siddiq. Begitu juga Umar Al-Faruq, Uthman, Ali, para khalifah kenabian atau salah seorang daripada para isteri baginda ibu-ibu kepada orang-orang yang beriman atau ahli bait baginda yang soleh serta para sahabatnya yang dimuliakan?
Jawapan: Tidak, tanpa ada sedikit keraguan pun tentang itu.
Soalan 5: Adakah sambutan ini pernah dilakukan oleh salah seorang khalifah di era Umawi dan Abbasi sehingga ke pertengahan kurun yang keempat?
Jawapan: Tidak. Sambutan ini tidak pernah dikenal di zaman mereka.
Soalan 6: Kalau begitu siapakah yang pertama sekali mula melakukan sambutan terhadap hari kelahiran Nabi ini?
Jawapan: Mereka adalah golongan Al-Fathimiyyun Al-Ubaidiyyun yang dinisbahkan secara palsu dan dusta kepada ahli bait Nabi pada zaman orang yang diberikan gelaran -secara palsu- Al-Mu’izz Lidinillah (yang memuliakan agama Allah) Al-Fathimiy setelah tahun 360 Hijrah.
Imam Taqiuddin Al-Maqriziy rahimahullah telah bekata di dalam kitab beliau “Al-Mawa’iz Wal I’tibar Bizikri Al-Khutat Wal-Atsar” (1/490) di bawah tajuk “Penyebutan Hari-Hari Yang Dijadikan Perayaan Dan Pesta Oleh Para Khalifah Al-Fathimiyyun”:
“… Para Khalifah Al-Fathimiyyun mempunyai banyak perayaan-perayaan dan pesta-pesta di sepanjang tahun; iaitu pesta tahun baru, pesta awal tahun, hari ‘Asyura, hari kelahiran Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, hari kelahiran Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anhu, hari kelahiran Hasan dan Husain ‘alahimassalam, hari kelahiran Fathimah Az-Zahra ‘alaihassalam, hari kelahiran khalifah pada masa tersebut, malam awal bulan Rajab, malam pertengahan bulan Rajab, malam awal bulan Sya’ban dan malam pertengahan bulan Sya’ban …” -selesai nukilan-
Maka kamu membaca bahawa pada zaman mereka penuh dengan perekaan perayaan yang tidak pernah diturunkan sebarang keterangan pun tentang itu oleh Allah.
Soalan 7: Siapakah suri tauladan golongan Al-Fathimiyyun dalam mereka-reka perkara yang baharu ini?
Jawapan: Suri tauladan mereka di dalam permasalahan ini adalah orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kaum Yahudi mempunyai sejumlah perayaan yang diada-adakan, begitu juga kaum Nasrani. Di antaranya adalah perayaan hari kelahiran Nabi Isa alaihissalam.
Soalan 8: Apakah tujuan mereka dalam membuat perayaan-perayaan ini?
Jawapan: Dari segi zahirnya adalah sebagai bentuk peluasan ke atas rakyat. Dari segi batinnya pula, mereka mempunyai tujuan-tujuan yang bersifat politik dan doktrin; di antaranya adalah untuk menyelisihi syariat dan mengubahnya dengan cara menyebarkan bidaah-bidaah dan keyakinan-keyakinan yang batil serta bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat dan mengurung mereka di dalam penjara kebatilan mereka.
Soalan 9: Mereka mengatakan bahawa menyambut hari kelahiran Nabi adalah tanda mencintai dan memuliakan baginda?!
Jawapan: Kita katakan bahawa konsekuensi daripada ucapan ini adalah bahawa para sahabat dan yang mengikuti mereka dengan baik semuanya tidak mencintai Nabi mereka dan tidak bergembira dengan baginda sehinggalah datang orang-orang yang terkemudian yang mengajarkan kepada mereka bagaimana cara yang betul dalam mencintai Nabi!! Dan ini adalah kebatilan yang paling batil dan kedustaan yang paling buruk.
Dikatakan juga kepada mereka: Kecintaan kepada Nabi itu akan terjadi dengan cara menuruti perintahnya dan menjauhi larangannya. Bagindalah yang mengatakan: “Dan seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (di dalam agama)”. HR Muslim daripada Jabir pada nombor (867).
Soalan 10: Adakah terdapat keterangan daripada ilmu atau penunjukkan daripada dalil tentang sambutan hari kelahiran Nabi?
Jawapan: Tidak ada di sana sebarang dalilpun yang menunjukkan kepada sambutan ini, tidak ada juga sebarang ilmu yang membimbing ke arahnya. Dan setiap dalil yang mereka gunakan adalah sama ada dalil-dalil yang bersifat umum yang diletakkan bukan pada tempatnya ataupun dalil-dalil yang menjadi hujjah untuk membantah mereka.
Di antaranya mereka berdalilkan dengan firman Allah: ((Dan berzikirlah mengingati Allah dengan zikir yang banyak)) [Al-Ahzab: 41] dan dalil-dalil yang sejenis dengan ini sedang ia adalah dalil yang mutlak maka haruslah diikat cara-cara melakukan zikir tersebut seperti yang ditunjukkan oleh dalil-dalil.
Tidak boleh bagi seseorang itu untuk mereka-reka cara dan gaya berzikir yang tidak ditunjukkan oleh dalil. Kalau tidak demikian, nescaya ia masuk di bawa sabda baginda sallallahu ‘alaihi wasallam: “Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia tertolak” HR Bukhari (2697) dan Muslim (1718).
Yang lebih dekat adalah pendalilan mereka menggunakan firman Allah ta’ala: ((Dan sekiranya kamu semua taat kepadanya, nescaya kamu akan mendapatkan petunjuk)) [An-Nur: 54]
Maka kita katakan: Demi Allah, kalau mereka taat kepada baginda, nescaya mereka telah mendapatkan petunjuk. Akan tetapi mereka mendurhakai dan menyelisihi perintah baginda untuk sentiasa melazimi sunnahnya, mereka melakukan perkara yang baginda larang dengan cara membuat perkara-perkara baharu di dalam syariatnya. Maka bagaimana mereka akan mendapatkan petunjuk? Beginilah keadaan mereka.
Soalan 11: Adakah boleh berdalilkan dengan firman Allah ta’ala: ((katakanlah dengan kurniaan Allah dan rahmatnya maka dengan itulah hendaknya mereka bergembira)) [Yunus: 58] akan bolehnya bergembira dengan hari kelahiran Nabi dan bolehnya berkumpul untuk menyambutnya?
Jawapan: Telah sepakat ungkapan para ahli tafsir bahawa yang dimaksudkan dengan kurniaan Allah yang ditunjukkan di dalam ayat tersebut adalah kurniaan Islam dan Sunnah sepertimana yang disebutkan oleh Ibnul Qayyim di dalam kitab “Ijtima’ Juyusy Al-Islamiyyah”. Maka berdasarkan ini, jadilah ayat tersebut sebagai bantahan ke atas mereka kerana perbuatan mereka ini bukanlah sebahagian daripada islam bukan juga sebahagian daripada sunnah.
Kemudian dikatakan juga bahawa kegembiraan yang semata-mata kegembiraan dengan kelahiran yang mulia itu tidak ada masalah padanya.
Yang kita ingkari hanyalah tata cara kegembiraan dan perkara-perkara bidaah yang terjadi di sebalik kegembiraan tersebut. Kegembiraan tempatnya adalah di dalam hati. Adapun perkara-perkara bidaah dan perkara-perkara baharu yang diada-adakan di dalam agama maka itu telah bertentangan dengan kegembiraan yang syar’i.
Soalan 12: Mereka mengatakan: “Apa-apa saja yang kaum muslimin memandangnya baik maka ia adalah baik”. Dan ramai dari kalangan umat islam yang mendirikan sambutan hari kelahiran Nabi ini?
Jawapan: Atsar ini adalah daripada Ibnu Mas’ud dan yang dimaksudkan dengannya adalah berhujjah dengan ijma’ bukan semata-mata keramaian yang menyelisihi dalil, sepertimana itu disebutkan oleh Ibnu Hazm, Ibnu Qudamah, Ibnu Katsir, Ibnul Qayyim dan Asy-Syatibiy rahimahumullah.
Kemudian yang beliau maksudkan dengan manusia (di dalam atsar tersebut) adalah para sahabat dan yang mengikuti jejak langkah mereka kerana beliau mengucapkan perkataan tersebut dalam rangka berdalilkan dengan kesepakatan kaum muslimin atas kekhalifahan Abu Bakar As-Siddiq radhiallahu ‘anhu.
Para sahabat tersebut mereka tidak berselisih dalam permasalahan menyambut hari kelahiran Nabi dan mereka juga tidak melakukan perkara-perkara baharu di dalam agama. Mereka hanyalah tunduk dan patuh kepada dalil-dalil. Inilah dia pandangan yang baik yang mereka memandangnya dan yang seharusnya diterima.
Soalan 13: Melakukan sambutan hari kelahiran Nabi di dalamnya mengandungi rasa syukur kepada Allah ta’ala atas kelahiran Nabi-Nya, juga mengandungi rasa syukur kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam atas penyampaian baginda terhadap risalah Tuhannya. Maka kita melakukan ini adalah kerana bersyukur kepada Allah ta’ala sepertimana Rasul kita juga bersyukur kepada Tuhannya ‘azza wajalla dengan berpuasa pada hari Isnin disebabkan baginda dilahirkan pada hari tersebut. Juga sepertimana baginda berpuasa pada hari ‘Asyura kerana bersyukur kepada Allah ta’ala yang telah menyelamatkan Nabi Musa ‘alaihis salam?!
Jawapan: Bersyukur kepada Allah akan terjadi dengan cara kita melakukan apa yang Dia perintahkan kepada kita berupa berpegang teguh dengan agama-Nya, meneladani Nabi-Nya sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam perbuatan dan ucapannya. Allah berfirman: ((Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik untuk kamu)) [Al-Ahzab: 21].
Kemudian, barangsiapa yang ingin bersyukur dengan sebenar-benarnya, maka bersyukurlah kepada Tuhannya sepertimana Nabi bersyukur kepada-Nya iaitu dengan cara berpuasa pada hari Isnin dan hari ‘Asyura. Adapun dengan mengada-adakan di dalam agamanya sesuatu yang dibencinya, maka ini adalah gangguan dan penentangan kepada sunnahnya, bukan kesyukuran.
Soalan 14: Apakah kerosakan-kerosakan yang berlaku di sebalik sambutan hari kelahiran Nabi ini?
Jawapan: Kita sebutkan secara am di dalam poin-poin yang berikut ini:
1) Melakukan penentangan kepada Allah dan Rasul-Nya dengan cara mengada-adakan sesuatu yang baharu di dalam agama-Nya.
2) Melakukan penipuan kepada orang-orang yang jahil dan menyesatkan mereka dengan perkara-perkara bidaah dan perkara-perkara yang direka-reka di dalam agama.
3) Membiasakan masyarakat dengan pemahaman bahawa sambutan hari kelahiran Nabi ini hanyalah sebagai peringatan untuk membaca sirah baginda dan melihat sedikit kepada petunjuk baginda sedangkan agama memerintahkan kita untuk mengikuti baginda pada setiap waktu dan di dalam setiap perkara baik yang kecil mahupun besar. Allah berfirman: ((Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik untuk kamu bagi orang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat)) [Al-Ahzab: 21]
4) Keadaan mereka ini menuntut untuk kita menghukum orang-orang yang pertama sekali mendahului dengan keimanan dan yang mengikuti mereka dengan baik adalah jahil dan bahawasanya mereka tidak mengetahui apa yang seharusnya dilakukan terhadap Nabi mereka ‘alaihisolatu wassalam, sungguh jauh para sahabat daripada sikap yang seperti itu.
5) Orang-orang yang menuruti hawa nafsu dengan segala jenisnya menggunakan peluang pada kesempatan ini dengan tujuan-tujuan yang jahat baik yang bersifat kepartian atau siasah atau keduniaan atau keghairahan atau kefasikan. Dan realiti keadaan menjadi saksi terhadap semua itu.
6) Yang paling utama; tidaklah golongan Fathimiyyah, Rafidhah, Qaramitah, Makarimah, Sufiyyah dan Hizbiyyun mereka-rekanya melainkan kerana itu. Oleh itu kamu dapati mereka bersegera mencipta sambutan-sambutan sempena peristiwa itu, mempolitikkannya atau mengajak manusia berwalak dengan mereka dan berlepas diri daripada orang yang menyelisihi mereka. Sedang Allah Maha Meliputi dari belakang mereka.
7) Segala yang disebutkan ini adalah apabila perkumpulan itu dikhususkan semata-mata untuk mengingati hari kelahiran Nabi. Adapun sekiranya digabungkan bersamaan itu dengan perkara-perkara bidaah yang lain, kesyirikan-kesyirikan, pembacaan bait-bait burdah yang di dalamnya terdapat kesyirikan yang jelas dan sikap melampaui batas yang menjijikkan, maka tidak diragukan lagi bahawasanya larangannya juga semakin berat dan pencegahannya juga semakin ditekankan dalam rangka untuk melindungi serta menjaga kemuliaan agama ini.
Sebagai penutup, kami mewasiatkan kepada seluruh kaum muslimin untuk taat kepada Allah dan Rasul-Nya, istiqamah di atas agama-Nya, meninggalkan segala perkara yang diada-adakan, kemaksiatan dan kemungkaran serta untuk mereka bersegera memuliakan Nabi mereka dengan pemuliaan yang menepati syarak iaitu dengan cara mengikutinya dan mencintainya dengan kecintaan yang benar yang dapat mendatangkan pahala bagi seorang muslim tersebut serta dapat memimpinnya menuju ke jalan yang lurus yang dapat menyampaikan ke syurga-syurga yang penuh dengan kenikmatan lalu Allah menyelamatkannya disebabkan itu daripada jalan orang-orang yang terpesong dan jalan orang-orang yang sesat dengan kesesatan yang nyata.
Semoga selawat dan salam Allah dilimpahkan ke atas Hamba-Nya, Rasul-Nya, Kekasih-Nya dan Yang Terpilih dari kalangan para hambanya dan juga ke atas keluarga, para sahabat baginda dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik sampailah ke Hari Pembalasan.
Ditulis Oleh:
Abu Abdirrahman Fathul Qadasi
Yaman/Ta’iz/Masjid Al-Mujahid/Rabu 9/3/1441 Hijrah
Diterjemahkan dengan sedikit perubahan oleh:
Abu Ahmad Wan Shahir Husairil bin Wan Perwira
Malaysia/Perlis/Jumaat 11/3/1441 Hijrah
http://t.me/maktabahahmad_publisher
Komentar
Posting Komentar