NASEHAT UNTUK MENGATASI PERSELISIHAN SESAMA AHLUSSUNNAH

Nasihat dari Syaikhuna Abu Fairuz Al-Indunisiy -hafizahullah-:

1. Bersabarlah dengan bimbingan para ulama walaupun terasa panas, berat dan pahit.

Telah berkata Fadhilatusy Syaikh Yahya bin Ali Al Hajuri -hafizahullah-:

"(Adakah) engkau memahami Al-Kitab dan As-Sunnah sesuka hatimu??

Menjadikan manusia tidak perlukan kepada ulama adalah merupakan kesesatan, di setiap masa dan tempat. Ummat yang hidup dalam keadaan berpisah daripada para ulama adalah ummat yang penuh dengan kebingungan yang melemparkan diri mereka kepada kebinasaan."

("Al Kanzuts Tsamin"/Syadzarat Min Awailid Durus)

____________

2. Ketahuilah kadar diri sendiri dan janganlah mendahului para ulama.

Telah berkata Fadhilatusy Syaikh Yahya bin Ali Al Hajuri -hafizahullah-:

"Jarh (iaitu: hukum kritikan terhadap seseorang) itu wajib berlandaskan ilmu, kerana orang yang bukan alim selalunya tidak terpenuhi pada dirinya syarat-syarat untuk melakukan jarh sehingga dia terjatuh ke dalam (mencemarkan) kehormatan kaum Muslimin dengan tanpa hujjah. Maka, orang yang bukan alim hendaklah menukilkan apa yang telah disebutkan oleh orang alim dalam permasalahan jarh terhadap individu-individu tertentu."

("Al Haqaiqil Jaliyyah Li Ba'dhil Muftin Fid Da'watis Salafiyyah")

____________

3. Asy-Syaikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i -rahimahullah- telah menyebutkan ubat bagi perselisihan yang terjadi:

"Di antaranya adalah bertanya kepada para ulama Ahlussunnah. Allah subhanahu wata'ala telah berfirman:

((Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan tentang Al-Quran sekiranya kamu tidak mengetahui)) An-Nahl: 43

Akan tetapi, sebahagian penuntut ilmu telah reda (berasa cukup) dengan ilmu yang dimilikinya dan jadilah dia seorang yang suka berdebat dengan setiap orang yang menyelisihinya, dan itu adalah salah satu sebab terjadinya perpecahan dan perselisihan."

("Nashihati Li Ahlissunnah"/Al Wadi'i)

____________

4. Telah berkata Fadhilatusy Syaikh Soleh Al-Fauzan -hafizahullah-:

"Oleh itu, kami wasiatkan kepada para pemuda untuk meninggalkan perpecahan dan perselisihan. Hendaklah mereka memaparkan perkara yang terjadi di antara mereka kepada para ulama. Tidak mungkin bagi mereka untuk kembali kepada Al Qur'an dan As Sunnah (dengan sendirinya), kerana mereka belum lagi mempunyai kemampuan untuk itu disebabkan kurangnya ilmu yang mereka miliki."

("Al-Muntaqa Min Fatawal Fauzan"/28/ms 4)

____________

5. Telah berkata Fadhilatusy Syaikh Muhammad bin Aman Al Jamiy -rahimahullah-:

"Termasuk di antara fitnah yang menimpa sebahagian pemuda adalah sikap tergesa-gesa dalam memberikan hukum kepada seseorang (dengan mengatakan) dia kafir, mubtadi', sesat, serta (sangat mudah untuk) menjatuhkan kehormatan manusia yang lain seakan-akan mereka menganggap bahawasanya perbuatan ghibah, namimah, cercaan dan ejekan itu hanyalah diharamkan ke atas orang-orang yang sehaluan dengan mereka."

("28 Sualan Fid Da'watis Salafiyyah"/Maktabah Muhammad Aman Al Jamiy/ 53/ms 13)

____________

6. Telah berkata Fadhilatusy Syaikh Abu Amru Abdul Karim Al Hajuri -hafizahullah-:

"Ramai manusia dari kalangan orang-orang yang jahil serta berlagak pandai telah berbicara tentang permasalahan menjatuhkan hukum kafir, mubtadi' dan fasik sedangkan mereka bukan ahlinya. Semua ini haruslah dirujuk (dan dikembalikan) kepada para ulama."

Selesai secara ringkas dari pelajaran "Al Aqidatut Thahawiyyah" Malaysia/26 Zul Hijjah 1438)

____________

7. Telah berkata Fadhilatusy Syaikh Abu Bilal Al-Hadrami -hafizahullah-:

"Sebahagian manusia selalu melaungkan ucapan: "Al-Kitab dan As-Sunnah!", "Al-Kitab dan As-Sunnah!", juga ucapan: "Tidak ada hukum melainkan ianya milik Allah!"

(Kita katakan kepada mereka) Siapakah yang memahami hukum Allah? Kamu? Di sana ada orang yang lebih faham daripada kamu. Allah ta'ala berfirman:

((Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan tentang Al-Quran sekiranya kamu tidak mengetahui)) An-Nahl: 43

Memang tidak ada keraguan sama sekali (akan kebenaran seruan) untuk kembali kepada Al-Kitab dan As-Sunnah. Akan tetapi di sana terdapat orang-orang yang memahaminya (iaitu: para ulama) maka hendaklah kita merujuk kepada mereka."

____________

8. Telah berkata Fadhilatusy Syaikh Adnan Bin Husain Al Mishqari -hafizahullah-:

"Para pelaku kebid'ahan itu akan memberontak kepada para ulama pertama sekali kemudian kepada para umara. Mereka mengkritik para ulama, meremehkan para ulama dan bersikap buruk kepada para ulama."

Selesai secara ringkas dari pelajaran "Ad Daliyyah Fi Bayani Aqidatil Firqatin Najiyyah"/Malaysia/26 Dzul Hijjah 1438 H)

____________

Berkata Syaikhuna Abu Fairuz -hafizahullah-:

"Ini semua adalah beberapa nasihat dalam rangka untuk mengatasi perselisihan di antara Salafiyyin Tsabitin. Bukan di antara Salafiyyin dengan Hizbiyyin."

Olahan semula ke Bahasa Melayu oleh Abu Ahmad Wan Shahir.


Komentar

Postingan populer dari blog ini

Hukum Belajar Di Jami'ah Islamiyyah Madinah

Menanggapi akan makruh nya istri memakai celana dalam

Berqurban Sesuai Dengan Sunnah Rosulullooh ﷺ