Bantahan terhadap para pemuja kubur

*Bantahan Terhadap Para Pemuja Kubur (Quburiyyun).*

*Bagaimanakah caranya kita ingin membantah setiap syubhat orang-orang Syiah, Sufiyyah dan para pemuja kubur?*

Sesungguhnya syubhat yang terbesar yang selalu diulang-ulang oleh para pembesar kebidahan dan kesesatan, juga sering diulang-ulang oleh para penyeru kepada kekufuran dan kesyirikan yang terdiri daripada kalangan Syiah, Sufiyyah dan selain mereka adalah perkataan:

“Bahawasanya kami tidak pernah menyembah para Imam dan para wali selain Allah. Dan kami tidak pernah berkeyakinan bahawasanya mereka secara zatnya boleh memberikan sebarang manfaat dan menghindarkan sebarang kemudaratan. Mereka tidaklah memiliki sedikitpun dari penciptaan alam semesta, penguasaanya serta pengelolaannya kerana perkara itu hanyalah milik Allah semata.

Hanya saja, kami mengharapkan daripada mereka itu wasilah (perantaraan) dan kami mendekatkan diri kami kepada Allah menggunakan perantaraan mereka. Kami menjadikan mereka sebagai perantara di antara kami dengan Allah dan juga sebagai para pemberi syafaat yang akan memberikan syafaat untuk kami di sisi Allah.

Mereka itu hanyalah sekadar asbab yang kita diperintahkan untuk mengambilnya dan beramal dengannya sedang yang menunaikan asbab-asbab itu hanyalah Allah semata tidak ada sekutu baginya.”

Inilah dia syubhat orang-orang kafir dan musyrikin pada zaman yang pertama dahulu. Allah telah membantah mereka di dalam kitab-Nya yang mulia dan telah menjelaskan bahawasanya mereka itu adalah para pendusta terhadap apa yang mereka dakwakan dan kufur di dalam perbuatan-perbuatan yang mereka lakukan.

Allah ta'ala berfirman:

((أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ))

((Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka perselisihkan. Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar)). Az-Zumar: 3

Juga Allah ta’ala berfirman:

((وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنْفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لَا يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ))

((Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata: "Mereka itu adalah pemberi syafa'at kepada kami di sisi Allah". Katakanlah: "Apakah kamu mengabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya baik di langit dan tidak (pula) dibumi?" Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan)). Yunus: 18

Dan termasuk di antara syubhat- syubhat dan kebodohan-kebodohan golongan Syiah dan Sufiyyah, yang mana mereka telah banyak menyesatkan orang-orang yang jahil dengan syubhat ini iaitu mereka mengatakan bahawasanya bila mana kami meminta pertolongan daripada mereka, dan bila mana kami menyeru, memohon serta meminta bantuan dengan mereka, kami umpamakan perkara tersebut dengan seseorang yang datang kepada polis untuk meminta bantuan bertujuan untuk menyelamatkan dia daripada para perompak dan para penjahat.

Dan jawapan terhadap syubhat ini adalah kita katakan bahawasanya al-isti’anah (meminta pertolongan) dan juga al-istighasah (memohon pertolongan dengan merayu-rayu) dengan makhluk itu ada dua jenis iaitu:

1. Isti’anah dan istigathah yang disyariatkan: ia mempunyai tiga syarat yang mesti dipenuhi. Apabila salah satu daripada syarat-syarat ini hilang, maka ia tidak diperbolehkan. Iaitu:

• Hendaklah makhluk yang ingin dimintakan bantuannya itu hidup

• Hendaklah makhluk yang ingin dimintakan bantuannya itu hadir

• Hendaklah makhluk yang ingin dimintakan bantuannya itu mampu

2. Isti’anah dan istigathah yang mengandungi kesyirikan kepada Allah: Ia adalah isti’anah dan istigathah yang tidak memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan di atas.

Maka setiap isti’anah dan istigathah yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas, maka Ia adalah isti’anah dan istigathah yang mengandungi kesyirikan kepada Allah dan hukumnya adalah tidak diperbolehkan.

Seperti seseorang yang meminta pertolongan daripada orang yang hidup dan hadir di sisinya akan tetapi tidak mampu untuk melakukan perkara yang diminta seperti permintaan yang hanya menjadi kekhususan Allah ta’ala (contoh: menurunkan hujan).

Begitu juga seseorang yang meminta bantuan daripada orang yang hidup dan mampu tetapi orang tersebut tidak hadir di sisinya, pun tidak diperbolehkan.

Lebih buruk lagi adalah orang yang meminta pertolongan daripada orang yang telah mati kerana mereka adalah orang-orang yang tidak hidup, tidak hadir, dan juga tidak mampu untuk melakukan apa-apa.

Akan lebih jelas dengan contoh:

Sekiranya di sisi kamu ada seseorang, walaupun ia adalah seorang budak kecil lalu kamu meminta pertolongan daripadanya dan kamu memohon bantuan daripadanya untuk mendatangkan makanan ataupun minuman ataupun untuk memadamkan api sebagai contohnya, maka ini adalah isti’anah yang diperbolehkan berdasarkan ijmak para ulama tidak ada perselisihan tentang itu kerana orang itu hidup, hadir dan juga mampu untuk membantu kamu.
Akan tetapi sekiranya kamu meminta daripada orang tadi sesuatu yang hanya Allah sahaja yang mampu melakukannya seperti meminta bantuan khusus (madad),anak, rezeki atau penyembuhan maka ini adalah isti’anah dan istigathah yang mengandungi kesyirikan kerana kamu menyeru dan meminta pertolongan daripada makhluk yang tidak mampu untuk melakukan perkara yang diminta.

Dan begitu juga sekiranya kamu memohon daripada seseorang yang hidup dan mampu dan kamu meminta daripadanya suatu bantuan yang pada asalnya bantuan tersebut mampu dilakukan tetapi orang yang diminta bantuan itu tidak ada di sisi kamu, dia tidak mendengarkan ucapan kamu dan tidak ada sebarang perhubungan di antara kamu dengan dia seperti melalui telefon ataupun yang semisalnya dan kamu berkeyakinan bahawasanya dia mampu untuk membantu kamu dan menghilangkan kemudaratan daripada kamu dalam keadaan dia tidak hadir di sisimu. Maka ini adalah isti’anah dan istigathah yang mengandungi kesyirikan kerana kamu menyeru dan meminta pertolongan daripada makhluk yang walaupun dia hidup dan mampu pada asalnya akan tetapi dia tidak hadir di sisimu.

Dan yang lebih buruk daripada itu lagi adalah mereka yang menyeru orang yang sudah mati. Sudah tentu seruan dan permohonan bantuan daripada si mati tersebut merupakan suatu yang mengandungi kesyirikan kerana dia menyeru dan meminta bantuan daripada makhluk yang sudahpun mati yang tidak hadir di sisinya yang tidak mampu untuk melakukan apa-apa.
Allah ta’ala berfirman:

((وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَا يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ * أَمْوَاتٌ غَيْرُ أَحْيَاءٍ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ))

((Dan berhala-berhala yang mereka seru selain Allah, tidak dapat mencipta suatu apapun, sedang berhala-berhala itu (sendiri) dibuat oleh orang.  (Berhala-berhala itu) benda mati tidak hidup, dan berhala-berhala itu tidak mengetahui bilakah penyembah-penyembahnya akan dibangkitkan)).

Juga Allah berfirman:

((ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ وَالَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ مَا يَمْلِكُونَ مِنْ قِطْمِيرٍ *  إِنْ تَدْعُوهُمْ لَا يَسْمَعُوا دُعَاءَكُمْ وَلَوْ سَمِعُوا مَا اسْتَجَابُوا لَكُمْ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُونَ بِشِرْكِكُمْ وَلَا يُنَبِّئُكَ مِثْلُ خَبِيرٍ))

((Yang (berbuat) demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaan-Nya-lah segala kerajaan. Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempunyai apa-apa walaupun setipis kulit ari. Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan dihari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui)).

Juga Allah berfirman:

((وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَنْ لَا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ * وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ))

((Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain Allah yang tiada dapat memperkenankan (doa)nya sampai hari kiamat dan mereka lalai dari (memperhatikan) doa mereka?  Dan apabila manusia dikumpulkan (pada hari kiamat) niscaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka dan mengingkari pemujaan-pemujaan mereka)).

-Terjemahan dengan sedikit perubahan oleh: Abu Ahmad Shahir


Sumber :
http://t.me/maktabahahmad_publisher 


Komentar

Postingan populer dari blog ini

Hukum Belajar Di Jami'ah Islamiyyah Madinah

Menanggapi akan makruh nya istri memakai celana dalam

Berqurban Sesuai Dengan Sunnah Rosulullooh ﷺ